Sunday, 1 June 2014

Artikel : Bahaya Mengurut Hernia


HERNIA merupakan gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh kaum Adam. Sekalipun insidennya lebih banyak menyerang orang dewasa, ia juga kerap terjadi di kalangan kanak-kanak.

Walaupun hernia tiada kaitan dengan masalah angin, tetapi ia turut mendapat jolokan di kalangan masyarakat kita sebagai penyakit angin pasang.

Hernia diambil daripada perkataan Latin, herniae yang membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu yang lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Ia kelihatan seperti bonjolan kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa anak batuk atau menggeliat.

Punca

Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital). Bonjolan hernia biasanya berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.

Pakar bedah kanak-kanak di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Zulkiflee Laidin berkata, sesetengah bayi memang dilahirkan dengan beberapa bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahirannya.

Tetapi pada sesetengah kes, keadaan tersebut tidak berlaku sedemikian, menyebabkan tisu-tisu berhampiran menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.

Kata beliau, hernia kanak-kanak lazimnya berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya.

“Hernia jenis ini boleh ditutup dan selalunya tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. Cuma kadangkala, tisu-tisu boleh terjerut di dalam bukaan dan tidak boleh ditarik semula kepada kedudukannya yang asal.

“Ia terjadi apabila sebahagian daripada organ badan tertentu seperti gelungan usus menonjol keluar dari dinding otot yang lemah atau terbuka.

“Ia juga boleh jadi membran abdomen atau lain-lain tisu yang menolak dinding otot sehingga menyebabkannya menjulur ke dalam ruang yang tidak sepatutnya. Penonjolan inilah yang dipanggil sebagai hernia, yang kelihatan seperti bengkak atau bonjolan yang keluar dari kaviti tubuh,’’ kata Dr. Ahmad Zuilkiflee.

Terdapat dua jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak, iaitu hernia umbilikal pada bahagian pusat dan hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha di mana abdomen bertemu bahagian atas paha.

Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit, yang mana sesetengah membran abdomen atau usus kecil menjulur keluar melaluinya.

Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.

Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen atau ovari atau salur falopian bagi kanak-kanak perempuan, melalui pembukaan masuk ke bahagian groin.

Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.

“Bagi kanak-kanak lelaki dianggarkan seorang bayi daripada 40 kelahiran mengalami hernia jenis ini,’’ ujarnya.

Tambahnya, terdapat pelbagai komplikasi hernia antaranya Irreducible Hernia, di mana hernia tidak dapat dikembalikan ke tapak normal.

Hernia inkarserat (Obstructed Hernia) pula berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyumbatan. Contohnya, gelungan usus yang terperangkap dan menekan masuk pembukaan berupa kantung di dalam kawasan groin akan menyekat makanan daripada memasuki sistem pencernaan.

“Jika tisu-tisu yang terperangkap itu tidak dapat dikeluarkan, hernia tidak boleh dikurangkan dan memerlukan pembedahan segera,’’ kata Dr. Ahmad Zulkiflee.

Komplikasi hernia yang paling bahaya terhadap kanak-kanak adalah hernia tercekik atau terjerut (Strangulated Hernia) di mana ia boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu, hernia diaphragma iaitu satu bukaan kecil pada diafragma (otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang-ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan), menyebabkan bahagian atas perut naik ke atas ke bahagian dada.

Menurut Dr. Ahmad Zulkiflee, dianggarkan seorang daripada 5,000 kelahiran mengalami hernia jenis ini.

Pembedahan

Rawatan moden satu-satunya kaedah yang dapat menyelesaikan masalah bayi yang mengalami hernia. Jika ibu bapa takut dan tidak mahu mengambil apa-apa tindakan atau hanya mencuba kaedah mengurut, besar kemungkinan hernia itu lebih parah.

Bayi tersebut mungkin perlu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan.

“Pembedahan untuk pemulihan, bukannya kemudaratan. Bayangkan jika hernia itu dibiarkan. Ia akan membesar dan menolak buah zakar dan zakar ke belakang. Lama-kelamaan ia akan merosakkan alat kelamin bayi. Jadi, pembedahan adalah lebih baik,” katanya.

Hernia pusat yang terjadi kepada bayi jarang menyekat atau menjerut, tidak seperti orang dewasa.

Kebanyakan hernia pusat, sekalipun yang besar akan tertutup sendiri apabila usia kanak-kanak mencecah dua tahun. Doktor biasanya akan menasihatkan ibu bapa supaya tunggu dan lihat sahaja dulu, daripada terus membedahnya.

“Pembedahan hanya akan di jalankan jika saiz hernia mencecah dua sentimeter,” ujarnya.

Pada anak-anak, doktor akan melakukan palpasi dengan cara meraba isi hernia tersebut dengan hujung jari, bagi memastikan sama ada ia boleh dimasukkan semula ke dalam perut atau sebaliknya.

Rawatan yang akan dilakukan bergantung kepada pemeriksaan tersebut. Kebiasaannya doktor akan mengambil masa sejam bagi mengesan penyakit tersebut dan pembedahan kecemasan akan dijalankan jika perlu.

Pembedahan juga tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 15 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada di tahap risiko yang tinggi.

“Pembedahan segera perlu dilakukan jika ia hernia inkarserat dan terjerut kerana bahagian tersebut membusuk dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis). Akibat yang lebih buruk adalah kematian.

“Dalam pembedahan tersebut, usus yang termasuk ke kerandut akan diletakkan kembali ke dalam perut dan ruang di antara perut dan kerandut akan diperkukuhkan,’’ jelas Dr. Ahmad Zulkiflee lagi.

Kesimpulannya kata beliau, kanak-kanak perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi dan jangan mengurut hernia kerana ia adalah sangat berbahaya.

“Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah dan boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut,’’ tegasnya.

No comments:

Post a Comment